Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh
Allah sebagai البلاء (bala’) serta الفتنة (fitnah). Menurut kamus المحيط (al-Muhit), kedua-duanya
berkongsi maksud yang sama.
Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia,
kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang
mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. manakan tidak.
Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan
kehidupan.
ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan
dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
لا يكلف الله نفسا إلا وسعها
Allah tidak memberi kesusahan seseorang
hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 233]
Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian
yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu
ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan
mereka terhadap ujian serta dugaan
Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur
tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan
ayat 2-3 surah al’-Ankabut;
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka
akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji
(dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang
yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa
yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata
pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3].
Rasulullah SAW menyifatan bahawa ujian yang
diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan
semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar
juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith Rasulullah SAW
bersabda;
إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
Sesungguhnya besarnya ganjaran itu
dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila
mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu
barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh
keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.
[Riwayat
al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan
al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk
menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya
dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah SWT serta keredhaan-Nya. Namun bagi
manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka
dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.
Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa
semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar
ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan
bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan
diganjari dengan syurga;
أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti
yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah
ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta
digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan
Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar
dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]
Bentuk-bentuk ujian yang diberikan
Di dalam al-Quran, ada disebutkan ujian-ujian yang
diberikan oleh Allah kepada kaum manusia hambanya. Antaranya adalah;
1. Dugaan yang diberikan kepada kaum Nabi Musa dan
Harun adalah dengan anak lembu, yang mana mereka jadikan sembahan. (al-A’raf:
148, Thohaa: 90)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud
(al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum
‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik
kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa
serta buah-buahan. (al-Baqarah: 155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan.
(al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman
(al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia.
(al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian.
(al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian.
(al-Mulk: 2)
Nabi Allah juga diuji
Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan
kepada para Nabi adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah
seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;
إن أشد الناس بلاء الانبياء ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
“Sesungguhnya, manusia yang menerima
ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka,
kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang mengikuti
mereka.” [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]
1. Nabi Adam diuji dengan pohon yang terdapat
dalam Syurga Allah. (al-Baqarah: 34)
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak
mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud.
(al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang
menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat:
102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh.
(Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar
dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya.
(al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga
Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu
Talib. (al-Qasas: 56)
setiap
orang akan diuji dan tiada yang akan terlepas daripada ujian Allah. Perkara
yang ringan pada seorang, adalah berat pada satu orang yang lain pula. Dan cara
kita berinteraksi dengan dugaan yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita
kepada Allah. Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan
kemiskinan. Namun buat orang yang kaya pula, kekayaannya menjadi ujian buat
dirinya.
Manusia
juga diuji dengan anak-anak. Ada orang yang mendapat anak yang cacat, menjadi
dugaan kepada mereka. Ada orang yang mendapat anak yang tenggelam dalam
jenayah. Juga menjadi ujian buat dirinya. Ada orang pula mendapat anak yang
baik serta bijak. Namun itu juga boleh jadi dugaan buat dirinya.
Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung.
Ada orang yang diberikan dengan kesakitan. Sebagai
satu peringatan samada dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada
orang pula diuji dengan kesihatan, yang mana jika dia lalai sewaktu sihatnya.
Maka itu akan jadi liabiliti padanya. Ada orang diuji dengan kehidupan. Ada
orang diuji dengan kematian yang terdekat.
Pendek kata, setiap orang akan, telah, atau
mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan.
Inilah kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla yang menjadikan sesuatu pada takaran
yang tersendiri.
Orang yang beriman, telah diperingatkan oleh Allah
supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Telah datang petunjuk buat orang
beriman apabila diuji;
يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون
Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah
kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada
Allah, supaya kamu beruntung. [Ali Imran: 200]
Menurut al-Baghawi, al-Qurtubi menafsirkan arahan
supaya bersabar itu adalah merujuk kepada; bersabar di atas ketaatan kepada
Allah.
Kesabaran mesti dijana dengan ketaatan sebagai
dasar untuk mengelakkan goyah iman serta berputus asa. Bahkan, kerana ketaatan
jugalah, manusia akan menjadi redha atas ujian yang berlaku.
Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul.
Ini jelas sebagaimana dikhabarkan oleh Allah;
وإسماعيل وإدريس وذا الكفل كل من الصابرين
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail
dan Idris serta ZulKifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
[Al-Anbiya’: 85]
Jika dilihat pada sudut logik akal, manusia ini
diukur pada peringkat yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting
dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian
yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin saja rebah. Jadi, di sini,
bilamana dikenakan ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan
diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang
manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula
bersedia dan menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama
takaran dengannya.
Maka bersabarlah. Bersabarlah dalam menghadapi
dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan
ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti aka nada
perkara yang lebih baik menanti.
Wajib untuk kita bersabar, dan selain itu, untuk
bersyukur kepada Allah . Kerana orang yang diberikan musibah, atau ujian, pasti
akan mendapat ganjaran dari Allah
Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang
yang sabar!
يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين
Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah
pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang
sabar. [al-Baqarah: 153]